Tuesday, February 17, 2009

See ape YB Khalid says pasal YB Eli...

Tuesday, February 17, 2009

Kes YB Elizabeth Wong

Ada yang bertanya kepada saya, melalui SMS, panggilan telefon dan juga melalui blog ini berhubung kes YB Elizabeth Wong yang menjadi gempar pada hari ini, Isnin 16 Februari 2009. Ada juga yang panggil dan bertanya semasa saya berada di Parlimen, sibuk dengan aturcara perasmian oleh DYMM Sri Paduka Yang Dipertuan Agung. Saya jawab, “tunggu, saya perlu teliti dahulu”.

Kisahnya saya baca di dalam Malay Mail. Mengikut apa yang dilaporkan, YB Eli sedang tidur dan tidak sedar gambar-gambar berkenaan diambil. Berdasarkan apa yang dilapor ini, tanpa apa-apa andaian tambahan, jelas, YB Eli adalah mangsa usaha pencabulan yang dilakukan atas sebab-sebab tertentu. Ada bermacam-macam andaian yang telah dibuat. Ada yang mengandaikan ini tindakan orang yang cemburu terhadapnya. Ada yang kata ini permainan politik BN yang begitu terdesak, tiada modal, terpaksa mengutus orang mengambil gambar beliau secara curi dalam keadaan dia sedang tidur.

Ada juga yang membuat andaian ianya hasil dari hubungan intim di antara YB Eli dan seorang kekasih yang akhirnya, demi wang, menjual gambar-gambar ini. Ya, wang menjadi manusia pengkhianat dan tiada yang lebih arif tentang ini dari BN. Ini terbukti di Perak. Nak hasilkan pengkhianat, BN-lah pakarnya. Namun, dalam kes ini, ia tetap merupakan satu andaian. Mungkin andaian-andaian ini benar, mungkin tidak.

Maka buat masa ini, tidak perlu kita membuat andaian-andaian yang tidak mampu kita buktikan. Apa yang penting ialah kita akui YB Eli merupakan mangsa dan tindakan pihak yang mengambil gambar-gambar tersebut perlu dikutuk. Ianya merupakan tindakan yang mencabuli hak ‘privacy’ YB Eli di rumah beliau sendiri dan tindakan mengendap dan mengintip seseorang demi mencari dan seterusnya mendedah kelemahan seseorang adalah jelas dikutuk oleh Islam.

Ada pula yang mencadangkan, tidakkah sepatutnya YB Eli meletak jawatan? Saya ingin bertanya kembali, mengapa? Apakah kesalahannya? Adakah tidur tanpa baju di bilik tidur sendiri satu kesalahan? Sejak bila? Ianya mungkin amalan yang pelik bagi sesetengah golongan, tetapi ia tidaklah menjadi satu kesalahan. Lainlah kalau berbogel dikhalayak ramai.

Ada yang menambah dan mengatakan ini bukti kurangnya moral kerana pasti YB Eli mempunyai hubungan seks dengan orang yang mengambil gambarnya. Itu sekali lagi andaian dan sekiranya YB Eli seorang Islam, nak dituduh zina sebegitu, pihak penuduh perlu membawa 4 orang saksi. Kalu tiada, diam! Andaian-andaian tak main. Boleh jatuh kazaf.

Malahan, sekiranya ada pengakuan dari satu pihak bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan seseorang sekalipun, pengakuannya hanya tersabit kesalahan atas dirinya sahaja sebagai pihak yang mengaku bersalah, bukan keatas pihak yang satu lagi. Begitulah adilnya hukum Islam. Tidak tergopoh-gopoh dan tidak ghairah untuk menyabit kesalahan seseorang. Kalau kita lihat pada kes-kes pada zaman Rasulullah (SAW), orang lelaki yang mengaku berzina tidak pula ditahan dan diseksa sehingga dipaksa memberitahu siapa wanita yang berzina dengannya. Yang mengaku sahaja yang dihukum. Malahan, yang tarik balik pengakuan, ditarik balik hukuman. Itu kaedahnya terhadap orang Islam. Tetapi, YB Eli bukan seorang Islam.

Kalau beliau dipaksa atau didesak meletak jawatan, maka mereka-mereka yang menganiayanya akan mencapai kehendak mereka. Dan kerajaan Selangor kehilangan seorang yang (setakat mana saya tahu) menjalankan tugasnya dengan dedikasi. Namun, akhirnya persoalan ini perlu dikembalikan kepada YB Eli sendiri. Mungkin selama ini beliau tidak sangka betapa kotornya politik Malaysia. Mungkin dia sendiri sudah menjadi muak dan naik meluat dengan kekotoran ini. (Saya difahamkan beliau menangis semasa bercerita tentang hal ini kepada Dr. Lo’ Lo’). Mungkin beliau sendiri yang ingin meletak jawatan.

Atau, beliau ingin lawan dan tidak tunduk kepada musuh yang menggunakan segala taktik yang kotor terhadap beliau. Kekotoran yang seperti inilah yang ingin beliau nyahkan dari politik Malaysia dan oleh itu beliau akan terus berkhidmat.

Dalam masa yang sama, persoalan ini boleh juga diserahkan sahaja kepada PKR. Biar mereka berbincang dengan YB Eli dan biar mereka sahaja yang memutuskannya. Mereka yang menganggap PAS adalah pihak yang akan menentukan tindakan terhadap YB Eli amat tersilap. Bukan itu caranya kita berkongsi dan berpakat dalam Pakatan.

WaLlahu 'Alam

No comments: